KLANG, 30 OGOS: Isu perpaduan menjadi dasar dan keutamaan pentadbiran Kerajaan Negeri berikutan Selangor menjadi pilihan serta tumpuan pelbagai pihak.
Dato’ Menteri Besar berkata negeri pimpinannya bukan hanya menawarkan peluang kerjaya sebaliknya menarik pelabur menjana ekonomi serta pengusaha pusat pendidikan bertaraf antarabangsa.
“Dari 1970-an hingga sekarang, Selangor antara negeri terima migrasi paling banyak. Ekonomi semakin rancak, dekat dengan pentadbiran pusat. Ada juga pelabuhan yang sibuk di Klang selain lapangan terbang di Subang dan Sepang.
“Jadi perpaduan sangat penting, tidak hanya melibatkan tiga ras utama iaitu Melayu, Cina dan India tetapi juga pelbagai etnik dari Sabah, Sarawak dan bangsa asing,” katanya berucap di majlis pengenalan Duta Perpaduan Selangor 2022 hari ini.
Amirudin berkata sepanjang 2018 hingga 2021, pelaburan di negeri ini semakin meningkat disebabkan kemajuan infrastruktur dan ekonomi negeri yang kukuh.
“Kita jadi pilihan. Bukan hanya tarik pekerja am tetapi juga golongan profesional. Ada yang jadi pensyarah, CEO (ketua pegawai eksekutif). Mereka jadikan Selangor sebagai tempat tinggal.
“Jadi saya percaya kesefahaman, perpaduan wajib ada dalam kalangan masyarakatnya. Kerajaan Negeri sentiasa merangka dasar untuk raikan semua,” katanya.
Sebelum ini Amirudin berkata pihaknya mengamalkan sikap adil dan saksama bagi melindungi semua lapisan masyarakat termasuk kumpulan penduduk yang berasal dari negeri lain.
Jelasnya Kerajaan Negeri memberi sepenuh komitmen dalam membantu masyarakat dari segenap aspek antaranya ekonomi, sosial dan pendidikan.