Pertunjukan bunga api sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 10,000 meriahkan sambutan Hari Kebangsaan negeri

SHAH ALAM, 31 OGOS: Lebih 10,000 pengunjung memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan di sini, malam tadi.

Majlis bermula jam 9 malam itu dimulakan dengan persembahan kesenian dan kebudayaan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Sebanyak 59 kontinjen dari pelbagai agensi, jabatan dan unit beruniform terbabit dalam perarakan dan pembarisan.

Paling mencuri tumpuan persembahan anggota beruniform dengan pertunjukkan t-baton, CPR dance, kawad senyap dan tempur tanpa senjata yang mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Penyanyi terkenal Black Hanifah dan Ernie Zakri antara selebriti yang turut memeriahkan program selain beberapa persembahan lain antaranya tarian pelbagai bangsa dan nyanyian koir.

Kontinjen keselamatan melakukan perbarisan ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada sambutan itu juga, Dato’ Menteri Besar menyampaikan hadiah dan anugerah khas bagi pembarisan serta pancaragam terbaik.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada pencipta lagu Negeri Selangor, Allahyarham Saiful Bahri Alias yang mana sumbangan diterima warisnya, Nurul Adzan.

Turut berlangsung simbolik penyerahan kunci Rumah Idaman kepada 26 pemain bola sepak Selangor yang memenangi Piala Malaysia pada 1995.

Kemuncak sambutan tepat pada jam 12 tengah malam dengan laungan merdeka sebanyak tujuh kali oleh Amirudin dan diakhiri dengan petunjukkan bunga api.


Pengarang :