Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa dalam kejadian kepala air di kawasan perkelahan Sungai Kenerong, Dabong, Kuala Krai pada 13 November 2021. Foto JBPM Kelantan
SELANGOR

Bomba: Selangor rekod 17 lokasi berisiko berlaku kepala air

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor merekodkan 17 lokasi yang berisiko berlakunya kepala air, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat berkata negeri ini menduduki tempat kedua selepas Kedah yang merekodkan 20 lokasi, lapor The Star.

Menurut Datuk Nor Hisham Mohammad, Terengganu mempunyai sembilan lokasi diikuti Perak dan Johor (enam), Kelantan (lima), Pahang (empat), Sabah dan Sarawak (dua), Perlis dan Negeri Sembilan (satu).

“Asas untuk mengetahui kawasan ini mudah. Jika kawasan perkelahan berhampiran jeram, sama ada jeram landai atau berbatu, kepala air akan datang dari hulu,” katanya.

Beliau juga menasihati orang ramai yang ingin beriadah di lokasi berisiko supaya peka dengan keadaan cuaca semasa selain mempunyai asas berenang dan terapung.

“Perhatikan tanda kepala air seperti peningkatan serpihan atau pasir dalam air serta sentiasa berjaga-jaga,” katanya.

Jumaat lalu, seramai 32 individu termasuk 13 kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong di Setiu.

Akhir tahun lalu, Yan dan Baling dilanda kepala air yang mengorbankan beberapa individu selain ratusan penduduk terjejas akibat aliran lumpur.


Pengarang :