AGENDANASIONAL

Didakwa buat serangan seksual, polis tahan bapa pelakon remaja

SHAH ALAM, 8 SEPT: Bapa kepada pelakon remaja yang didakwa melakukan serangan seksual ke atas anak kandungnya itu ditahan petang kelmarin, maklum ketua polis Subang Jaya.

Menurut Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, suspek berusia 43 tahun ditahan di kediamannya di Kedah sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, lapor Berita Harian.

“Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek dan akan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisis.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya.

Wan Azlan berkata suspek dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk permohonan reman dan majistret membenarkan lelaki itu direman tujuh hari sehingga 12 September untuk siasatan.

Semalam, Wan Azlan memaklumkan pihaknya menerima laporan polis daripada pelakon remaja berusia 15 tahun itu pada malam Isnin, yang mendakwa diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya.

Mangsa juga mendakwa sering dipertonton dengan video lucah dalam telefon bimbit bapa kandungnya semasa ketiadaan ibunya antara 2013 hingga 2017.

Siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah.


Pengarang :