Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis penyerahan bendera kontinjen Selangor ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 8 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kod QR dilancar, permudah akses kedudukan terkini Selangor dalam SUKMA

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerajaan Negeri melancar kod QR sempena Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 bagi memudahkan rakyat mengetahui kedudukan terkini Selangor dalam temasya sukan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar berkata aplikasi itu boleh diakses di semua tempat untuk mengetahui keputusan harian untuk kontinjen negeri.

“Dengan adanya kod QR ini, ia boleh diakses di mana-mana untuk mengetahui kedudukan terkini SUKMA yang berlangsung dari 16 hingga 24 September ini.

“Selain itu, mereka juga boleh melihat jadual harian dan sukan disertai kontinjen Selangor termasuk lokasi pertandingan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan bendera Kontinjen Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Generasi Muda & Sukan Selangor di sini semalam.

Turut berlangsung penyerahan watikah lantikan ketua kontinjen dan timbalan ke temasya sukan itu kepada EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Mohamad Zahri Samingon.

Pada temasya kali ini, Selangor menyasarkan berada pada kedudukan tiga teratas dengan sasaran 40 pingat emas, 40 perak dan 45 gangsa untuk edisi kali ini.

Seramai 490 atlet dan 75 jurulatih mengambil bahagian dalam 30 jenis sukan yang dipertandingkan dalam SUKMA ke-20 yang berlangsung mulai 16 hingga 24 September ini.


Pengarang :