EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud (belakang, kanan) bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (belakang, tengah) dan ADN Ijok Idris Ahmad (belakang, kiri) meninjau Program Selangor Saring di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 22 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan kesihatan percuma manfaat 40,000 individu, cadang diterus tahun depan

SHAH ALAM, 11 SEPT: Program pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 40,000 individu menyertai inisiatif iitu sejak dilancarkan Mei lalu.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah kehadiran Selangor Saring mencapai sasaran ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya 39,000 rakyat menerima manfaat program tersebut.

“Daripada 55,000 individu berdaftar untuk 55 Dewan Undangan Negeri (DUN), individu yang hadir menjalani saringan lebih 70 peratus dan jumlahnya tidak termasuk di DUN Seri Serdang, hari ini.

“Kehadiran rakyat Selangor yang hadir menjalani saringan amat baik dan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha menjayakan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir majlis penutup program Selangor Saring DUN Seri Serdang di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Putra Permai, Seri Kembangan.

Mariah memaklumkan susulan sambutan menggalakkan, pihaknya bercadang untuk meneruskan program saringan kesihatan percuma pada tahun depan.

“Kerajaan Negeri bercadang menyambung program ini kerana ia baru bermula dan kempennya perlu berterusan bukannya tempoh setahun dua supaya beri impak kepada rakyat,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring dengan menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program tersebut menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :