Baharudin Alias, 64, bercakap kepada wartawan ketika ditemui di Pengkalan Nelayan Tok Muda, Klang pada 12 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Bimbang banjir berulang, penduduk Klang ambil langkah waspada

KLANG, 13 SEPT: Penduduk di daerah ini mengambil langkah waspada susulan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku mulai pertengahan bulan ini hingga Disember.

Baharudin Alias, 64, mengakui bimbang kemungkinan peralihan monsun barat laut sepanjang tempoh itu bertembung dengan hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir besar seperti akhir tahun lalu.

“Saya menetap di Kampung Tok Muda, Kapar sudah 30 tahun dan kawasan ini tidak pernah dilanda banjir besar. Kalau boleh saya tidak mahu peristiwa seperti Disember tahun lepas (banjir) berulang.

Ketua MPKK Kampung Kapar, Mohd Fauzi Ariffin

“Tetapi memandangkan pihak berkaitan sudah mengeluarkan ramalan air pasang besar maka kami perlu bersedia terutama menyimpan dokumen penting seperti sijil kelahiran dan geran tanah di tempat selamat.

“Sekiranya benar-benar berlaku banjir, kami sedia beri kerjasama untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara kerana nyawa lebih mustahak berbanding harta benda,” kata bapa tujuh anak ketika ditemui di ban Pengkalan Tok Muda, Kapar di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kapar berharap pihak berwajib memantau keadaan parit dan saliran air di kawasan berisiko secara lebih kerap bagi mengurangkan risiko bencana.

Menurut Mohd Fauzi Ariffin, 54, penyelenggaraan dan penambahbaikan harus dilakukan supaya air mengalir lancar jika hujan berterusan sepanjang tempoh berkenaan.

Kawasan berisiko tinggi banjir akibat fenomena air laut pasang besar di Pengkalan Nelayan Tok Muda, Klang pada 12 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Populasi penduduk Kampung Kapar lebih kurang 24,000 orang dengan kawasan berisiko membabitkan 500 penduduk. Bagaimanapun penduduk di kawasan taman perumahan juga boleh terjejas jika parit dan saliran air tidak ditambah baik,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor mengalami peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter(mm) bermula pertengahan bulan ini hingga Disember.

Dalam tempoh sama, fenomena air pasang besar juga dijangka berlaku di kawasan pesisir laut sepanjang Pelabuhan Klang dengan paras air laut tertinggi dijangka mencapai 5.5 meter.

Keadaan itu boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke kawasan penempatan penduduk selain risiko banjir jika bertembung dengan hujan lebat.


Pengarang :