Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (HARAPAN) Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita di pusat media HARAPAN di Metropolitan Square, Petaling Jaya pada 18 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 80 peratus janji MOU kerajaan-HARAPAN berjaya dilaksana

SHAH ALAM, 13 SEPT: Kira-kira 83 peratus perjanjian kerjasama dwipartisan antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan kerajaan persekutuan yang dimeterai setahun lalu berjaya dicapai.

Pengarah komunikasinya berkata tujuh kejayaan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani membuktikan HARAPAN mampu mengetepikan sentimen politik demi kesejahteraan rakyat.

“Hasilnya, beberapa pindaan perlembagaan dapat dilakukan dan ia tidak mungkin akan berlaku tanpa adanya MoU ini,” kata Fahmi Fadzil dalam kenyataan.

Pada 13 September tahun lalu, HARAPAN dan kerajaan persekutuan melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Perjanjian itu merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Tujuh perkara hasil pencapaian MoU termasuk:

1. RUU antilompat parti
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) yang diluluskan di Parlimen pada 28 Julai lalu adalah kemenangan terbesar dan titik permulaan baharu dalam sistem demokrasi negara.

2. Pewartaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik
Pindaan umur kelayakan mengundi 18 tahun serta pendaftaran pemilih automatik diwartakan secara rasmi berkuat kuasa pada 15 Disember 2021.

3. Moratorium B50
Pemberian moratorium pinjaman bank kepada kumpulan 50 peratus terbawah (B50) merupakan satu kemenangan kepada rakyat.

4. Pembaharuan Parlimen
Pencapaian utama yang dapat dilihat adalah pemerkasaan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dengan penyertaan yang lebih seimbang di antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

5. Peruntukan sama rata untuk semua ahli parlimen
Kesemua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang menerima peruntukan yang sama demi menjamin khidmat yang berkesan.

6. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)
Usaha memperkukuhkan usaha ke arah pelaksanaan perkara yang termaktub dalam MA63 dipersetujui bersama.

7. Kebebasan badan kehakiman
Memastikan badan kehakiman sentiasa bebas dari sebarang campur tangan mana-mana pihak.


Pengarang :