Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun barangan jualan ketika Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 18 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jumlah kutipan jualan murah capai sasaran, setiap lokasi peroleh RM20,000

GOMBAK, 18 SEPT: Jumlah kutipan jualan murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat mencapai sasaran ditetapkan dengan setiap lokasi memperoleh RM20,000 sejak bermula 6 September lalu.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk meskipun hanya menjual enam barangan sahaja.

“Walaupun kita membawa enam barangan sahaja tetapi jumlah jualan sebanyak melebihi RM1 juta dengan subsidi dinikmati bernilai RM545,000.

“Setakat ini, jumlah jualan jelajah mencapai sasaran ditetapkan yang mana setiap lokasi memperoleh RM20,000,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi kepada SelangorKini.

Beliau ditemui di lokasi Jelajah Jualan Ehsan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves di sini, hari ini.

Tambahnya, untuk jelajah kali ini, pihaknya menggerakkan semua kakitangan PKPS setiap hari kecuali Isnin bagi memastikan kelancaran jualan.

“Kita ada 300 kakitangan di ibu pejabat dan tidak termasuk di ladang-ladang. Semua kita gerakkan dan tidak ada terkecuali untuk menyantuni rakyat.

“PKPS sedia berkhidmat untuk rakyat dan Kerajaan Negeri, kita akan cuba laksanakan sebaiknya,” katanya.

Program jualan murah Kerajaan Negeri dikendali PKPS yang dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri itu memperuntuk RM10 juta.

Bermula 6 September sehingga 6 Disember hadapan, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :