Skuad Pantas LUAS melakukan proses pembersihan saliran longkang ke Sungai Gong bagi mengelak pencemaran bau pada 22 September 2022. Foto Facebook LUAS
AGENSISELANGOR

Tindakan pantas LUAS kawal pencemaran bau di Sungai Gong

SHAH ALAM, 22 SEPT: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya menghalang berlakunya pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang semalam.

EXCO alam sekitar berkata agensi mengesan bau seakan diesel di kawasan Sungai Gong, berjarak hanya 20 kilometer dari LRA tersebut dan persampelan menunjukkan bacaan 2 TON.

Menurut Hee Loy Sian, pihaknya juga mengesan bau yang sama di kawasan hulu sungai terbabit berkemungkinan dari premis industri dengan bacaan 1 TON.

“Siasatan bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapati terdapat sisa minyak diesel di dalam saliran longkang sebuah stesen minyak di Taman Bayu Permai,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, langkah pencegahan diambil dengan meletakkan satu unit oil boom di outlet Kolam Takungan Sungai Gong selain empat beg karbon diaktif, empat unit oil boom dan lima unit oil pad di saliran longkang stesen minyak terbabit.

“LUAS juga bersiap siaga melakukan pengepaman air dari kolam alternatif di Bestari Jaya ke sungai bagi tujuan ‘flushing’ untuk meningkatkan kadar pencairan dan nyahbau,” katanya.

Menurut Loy Sian, LUAS mengeluarkan arahan kepada premis terbabit berdasarkan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 untuk mengalih dan membersihkan aliran air agar pencemaran tidak berulang.


Pengarang :