Infrasel menurap Jalan Sawah Ban, Pasir Panjang, Sabak Bernam pada 14 September selepas menerima aduan orang ramai dengan tanda pagar #Infrasel menerusi Twitter sehari sebelum itu. Foto Twitter Infrasel
AGENSISELANGOR

Tiga jalan rosak diturap selepas 24 jam terima aduan di Twitter

SHAH ALAM, 23 SEPT: Sebanyak tiga jalan rosak di beberapa daerah siap diturap selepas 24 jam Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menerima aduan orang ramai di Twitter.

Agensi itu meminta orang ramai untuk terus membuat aduan kerosakan jalan di tempat mereka dengan memuat naik ciapan di Twitter bersama tanda pagar #Infrasel berserta #namajalan #daerah.

“Teruskan membuat aduan dengan memuat naik ciapan di Twitter bersama hashtag #namajalan #daerah (jika) berlakunya kerosakan jalan raya tersebut,” katanya di Twitter.

Infrasel menurap Jalan Rahidin 1, Kampung Paya Jaras Dalam, Shah Alam pada 21 September 2022 selepas menerima aduan orang ramai dengan tanda pagar #Infrasel menerusi Twitter sehari sebelum itu. Foto Twitter Infrasel

Pada 14 September, Infrasel siap menurap Jalan Sawah Ban, Pasir Panjang, Daerah Sabak Bernam diikuti Jalan Genting Highlands – Batang Kali, Hulu Selangor pada 20 September dan sehari selepas itu di Jalan Rahidin 1, Kampung Paya Jaras Dalam, Petaling.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi Twitter.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, proses pelaporan kerosakan jalan di Selangor dipermudahkan dengan aduan di platform berkenaan sebelum ditapis dan disemak secara automatik.


Pengarang :