VIENNA, 2 OKT: Menteri-menteri minyak Opec+ akan bertemu di Vienna pada 5 Oktober untuk membincangkan strategi pengeluaran masa depan, menurut kenyataan dikeluarkan organisasi itu pada Sabtu.
Pertemuan bersemuka peringkat menteri Opec+ itu adalah yang pertama diadakan sejak Mac 2020 berikutan sekatan COVID-19, lapor Xinhua.
Pelabur menunggu keputusan mesyuarat Opec+ minggu depan, berikutan kejatuhan harga minyak baru-baru ini disebabkan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi dan penguncupan permintaan.
Kedua-dua minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent merosot daripada paras tertinggi lebih US$120 setong pada Jun kepada kira-kira US$80 setong.
Opec+ yang terdiri Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, mengurangkan pengeluaran minyak secara besar-besaran pada 2020 apabila pandemik COVID-19 menjejaskan permintaan.
Kumpulan itu mula meningkatkan semula pengeluaran pada Julai 2021 memandangkan pasaran semakin pulih.
Pada mesyuarat terakhir peringkat menteri yang diadakan awal September, Opec+ mengumumkan pemotongan kecil pengeluaran sebanyak 100,000 tong sehari untuk Oktober, pemotongan yang pertama dalam tempoh lebih setahun, untuk mengawal kemerosotan harga minyak mentah. – BERNAMA