Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
SHAH ALAM, 12 OKT: Kerja pembersihan longkang dan kutipan sampah pukal oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) konsisten mengikut jadual bagi memastikan sistem saliran tidak tersumbat sekali gus mencegah risiko banjir.
Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata jadual pembersihan longkang dilakukan dua kali sebulan di semua taman perumahan dan pihaknya sentiasa bersiap siaga menyelesaikan sebarang aduan dengan keutamaan diberikan kepada kawasan yang kritikal.
“Disebabkan aduan diterima menggalakkan, pihak KDEBWM akan menyelesaikan aduan bagi kawasan yang kritikal dahulu dan menjalankan kerja pembersihan longkang seperti biasa mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, KDEBWM memaklumkan, pihaknya mengenal pasti lebih 50 kawasan di seluruh negeri berisiko dinaiki air jika hujan lebat berterusan.
Kesemua kawasan terbabit dikelaskan sebagai titik panas berikutan berhampiran sungai selain bentuk muka bumi yang rendah.
Syarikat pengurusan perkhidmatan sisa pepejal dan pembersihan awam negeri turut bersiap siaga dengan lebih 1,800 anggota bagi menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini.