Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memeriksa aset keperluan untuk kegunaan banjir ketika pelancaran kesiapsiagaan bomba Selangor berdepan Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 12 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pos pangkalan hadapan percepat operasi selamatkan mangsa bah

SHAH ALAM, 12 OKT: Selangor bakal mewujudkan pos pangkalan hadapan di balai raya atau pejabat penghulu bagi mempercepat operasi mencari dan menyelamat mangsa jika berlaku banjir.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor turut menempatkan anggota penyelamat dan mengumpul aset pelbagai agensi di lokasi tersebut.

“Ini merupakan antara keputusan penting yang dibuat. Pangkalan ini sebagai persediaan awal supaya kita tidak terlalu jauh untuk menggerakkan aset,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Ditemui pada majlis pelancaran kesiapsiagaan JBPM Selangor di sini, beliau memaklumkan 12 strategi lain turut dibentangkan bomba bagi memudahkan proses menyelamat ketika berdepan musibah itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) memeriksa aset keperluan untuk kegunaan banjir ketika pelancaran kesiapsiagaan bomba Selangor berdepan Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 12 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Semua langkah ini dibuat berdasarkan pengalaman banjir tahun lepas. Jadi kita menumpukan pergerakan anggota, aset dan melengkapkan komunikasi selain pelaporan bencana,” katanya.

Mengulas kenaikan paras air sungai di beberapa lokasi pagi ini, Amirudin berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia dan memantau keadaan semasa supaya langkah segera dapat diambil.

Pagi tadi, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan dua sungai mencatat paras amaran susulan hujan lebat iaitu Sungai Selangor (Kuala Selangor) dan Sungai Labu (Sepang).

Manakala Sungai Klang (Klang) dan Sungai Beranang (Hulu Langat) pula pada aras waspada.

 

 


Pengarang :