Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
KLANG, 23 OKT: Ibu bapa disaran sentiasa memberi teladan baik agar sahsiah anak-anak terpuji sekali gus mampu membentuk institusi keluarga penyayang.
Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata perkara itu penting kerana setiap perbuatan ibu bapa menjadi ikutan anak-anak.
“Ibu bapa adalah orang terdekat yang akan dicontohi oleh anak-anak, jadi sudah pastinya setiap gerak-geri menjadi perhatian dan ikutan.
“Justeru, setiap apa pun yang ibu bapa buat perlu pastikan kita jadi model yang baik kerana ia akan ditiru oleh anak-anak,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad hari ini.
Berucap dalam prgram Bual Bicara dan Hi-Tea Puspanita Klang bersama Pekawanis di sini, beliau mengingatkan ibu bapa untuk bijak membahagikan tugas dan tanggungjawab supaya anak-anak tidak terabai.
“Perlu ada kesepakatan antara suami isteri selain saling menyokong antara satu sama lain. Tidak kira sama ada isteri itu suri rumah atau bekerjaya pembahagian tanggungjawab antara kedua-duanya amat penting untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga,” katanya.
Program bertajuk Wanita Nadi Keluarga Penyayang antara sebahagian acara yang mewarnai Jelajah Selangor Penyayang Klang di Stadium Sultan Suleiman di sini.