Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari diumum sebagai calon kerusi Parlimen Gombak ketika majlis pengumuman calon KEADILAN di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas, Ampang pada 28 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amirudin yakin pertahan kerusi KEADILAN Gombak

SEPANG, 29 OKT: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor yakin mampu mempertahankan kerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Parlimen Gombak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar berkata beliau akan cuba sedaya upaya dan melakukan yang terbaik untuk HARAPAN.

“InsyaAllah. Saya cuba sedaya yang mampu. Tak nak sombong membangga diri. Peluang ada, kita juga dengar suara hati rakyat.

“Dengan kerja kuat dan rekod, saya yakin tetapi ini bukan perkara mudah, tetap ada cabaran,” katanya pada sidang media selepas melancarkan projek Rumah Idaman Melur di sini hari ini.

Ditanya kemungkinan berlaku pecah undi penyokong KEADILAN memandangkan bakal bertemu bekas timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga penyandang kerusi, beliau berkata perkara itu tidak timbul.

“Boleh katakan cuma 10 20 peratus ahli parti ikut Azmin. Secara keseluruhan, parti ambil alih sepanjang dua tahun ini, menempuh gelora pandemik dan pemilihan (KEADILAN),” katanya.

Malam tadi presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Amirudin sebagai calon Parlimen Gombak.

Mohamed Azmin merupakan penyandang selama tiga penggal sebelum mengalih sokongan dan bersama pemimpin lain membentuk kerajaan baharu menerusi Perikatan Nasional.

Beliau menang kerusi berkenaan dengan majoriti 48,721 pada PRU 2018 sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ogos 2020.


Pengarang :