Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari diumum sebagai calon kerusi Parlimen Gombak ketika pengumuman calon KEADILAN di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas, Ampang pada 28 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Miliki reputasi cemerlang, Amirudin calon tepat di Gombak – penyokong

AMPANG, 29 OKT: Penyokong Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyifatkan Dato’ Seri Amirudin Shari calon tepat bertanding di Parlimen Gombak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berbekalkan reputasi cemerlang dipamerkan sepanjang empat tahun mentadbir Selangor.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Ampang Muhd Iman Haziq Hamizi, 27, percaya Dato’ Menteri Besar mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi tersebut bagi menggantikan penyandang yang mengkhianati mandat rakyat pada pilihan raya lalu.

Beliau berkata rakyat Gombak cenderung memilih pemimpin yang setia terhadap perjuangan parti meski mengakui bakal berlaku persaingan sengit di kerusi berkenaan.

“Saya mengikuti rapat perkembangan di Gombak, boleh dikatakan sentimen pengkhianat amat sensitif bagi akar umbi di kawasan ini berikutan penyandang sebelum ini telah mengkhianati kepercayaan diberikan rakyat.

“Jika difikirkan secara logik, pastinya rakyat akan menolak pemimpin yang mengkhianati mereka. Maka keputusan meletakkan Amirudin di Gombak adalah pilihan sangat baik kerana beliau sebelum ini mendapat majoriti besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

“Insya-Allah rakyat Gombak bijak memilih, apatah lagi beliau melakukan kerja dengan sangat agresif selama ini. Saya juga yakin beliau akan bertungkus-lumus memastikan Gombak kekal milik KEADILAN,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Bendahari Wanita KEADILAN cabang Kuala Langat Azizah Din, 53, berkata selain Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), perbezaan umur dan gerak kerja antara faktor Amirudin lebih menjadi pilihan rakyat untuk mentadbir Gombak.

“Banyak inisiatif dilaksanakan beliau (Amirudin) yang memberi kesan positif terhadap rakyat Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan ibu tunggal seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

“Ini mendorong rakyat untuk mengundi beliau (Amirudin), apatah lagi penyandang sebelum ini tidak setia yang sudah pasti menjejaskan sokongan dan keyakinan rakyat. Jadi jika beliau bertanding di Gombak memang ada harapan untuk menang,” katanya.

Naib Ketua Cabang Ampang Vincent Yap, 49, pula tertarik dengan idea dan langkah berani pemimpin negeri itu dalam pelaksanaan setiap inisiatif untuk rakyat Selangor sekali gus diyakini menawan kerusi berkenaan.

“Memang kedudukan itu agak sengit, tetapi saya yakin 100 peratus beliau (Amirudin) boleh menarik undi rakyat Gombak dan mengalahkan mana-mana pencabar.

“Selama ini beliau mengurus pentadbiran Selangor dengan sangat baik selain berani melaksanakan idea-idea baharu demi rakyat misalnya membeli vaksin Covid-19 untuk diberi secara percuma,” katanya.

Malam tadi, Amirudin diumum sebagai calon kerusi Parlimen Gombak yang sebelum ini dimenangi KEADILAN.

Gombak adalah kawasan parlimen didominasi Melayu dengan beberapa bahagian campuran antara bandar dan pinggir bandar merentasi Selangor dan Kuala Lumpur.

 


Pengarang :