Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
SHAH ALAM, 2 NOV: Dua lagi jalan selesai dibaiki syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) susulan aduan orang ramai di Twitter.
Agensi itu memaklumkan kedua-dua jalan di daerah Gombak dan Hulu Langat diturap dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.
“Kerja penurapan semalam (31 Oktober) membabitkan Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat dan pada 26 Oktober membabitkan Jalan Sungai Pusu, Gombak.
“Pada 26 Oktober, Infrasel juga melaksanakan kerja pemotongan rumput di Jalan Raja Musa,Tanjong Karang, Kuala Selangor,” kata agensi itu di Twitter.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/10/WhatsApp-Image-2022-10-27-at-2.54.43-PM-500x375.jpeg)
Sepanjang Oktober, beberapa jalan negeri dibaiki sebaik mendapat aduan orang ramai menerusi media sosial agensi itu.
Antaranya Jalan Raja Musa, Kampung Jalan Lama Panchang Bedena, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Jalan Mikon, Olak Lempit, Kuala Langat.
Agensi itu meminta orang ramai teruskan membuat aduan dengan memuat naik ciapan di Twitter bersama tanda pagar #infrasel #namajalan #daerah jika berlakunya kerosakan jalan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/09/FcreuDZXEAEVr2S-500x375.jpg)
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi Twitter.
Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan proses pelaporan kerosakan jalan di Selangor dipermudahkan dengan aduan di platform berkenaan sebelum ditapis dan disemak secara automatik.