Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan mengadakan sidang akhbar pemeriksaan depoh bas di Depoh Bas Sani Ekspress, Klang Sentral, Klang pada 25 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JPJ: Kereta klon dijual dipercayai didalangi sindiket terancang

SHAH ALAM, 10 NOV: Penjualan kereta klon dipercayai didalangi sindiket terancang berikutan kenderaan yang dibawa masuk ke negara ini memiliki Sijil Kelayakan (COE) yang akan tamat tempoh dalam masa tiga hingga tujuh hari sebelum dilupuskan di negara jiran.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata berdasarkan hasil siasatan pihaknya, sindiket tersebut dipercayai menyeludup kenderaan dari Singapura dengan menggunakan kereta yang hampir tamat tempoh COE dan disembunyikan dalam negara sebelum dijual dengan harga lebih murah daripada pasaran.

Bercakap pada sidang media di JPJ Selangor hari ini beliau berkata kenderaan itu dijual kepada pembeli antara 3,000 hingga 5,000 dolar Singapura menerusi pelbagai platform media sosial.

Lokman berkata antara model paling banyak ditawarkan adalah BMW, Lexus, Mercedes, Honda dan Toyota dengan menyasarkan individu berusia 25 hingga 40 tahun.

“Kebanyakan mangsa terpedaya dengan tawaran harga yang murah dan mereka juga dijanjikan untuk diberikan cukai jalan serta geran kereta yang asli sedangkan JPJ tidak pernah mengeluarkannya,” katanya.

Menurutnya JPJ masih giat mengesan rangkaian sindiket penjualan kenderaan klon itu dan pihaknya mempunyai sistem Caj Jalan dan Permit Masuk Kenderaan (RC/VEP) yang digunakan di pintu masuk negara di Johor bagi mengesan kenderaan luar yang dibawa masuk ke negara ini.

“Sistem berkenaan akan menyimpan rekod kenderaan yang berada di negara ini untuk tempoh melebihi dua bulan. Apabila kenderaan itu berada di negara ini untuk tempoh lama, kita syak kenderaan itu dijadikan kereta klon dan akan menjalankan operasi untuk mengesannya,” katanya.

Sebanyak 329 tangkapan kes kenderaan klon direkodkan di Selangor sejak 2011 sehingga kini menerusi Operasi Khas Kenderaan Klon manakala JPJ turut melaksanakan pelupusan kenderaan klon iaitu 234 kenderaan pada 2019 dan 46 kenderaan dilelong pada tahun ini, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :