KUALA SELANGOR, 14 NOV: Penduduk Kuala Selangor patut berbangga memiliki seorang pemimpin hebat dan berupaya memulihkan sistem kesihatan negara selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum lalu.
Berikutan itu, Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari meminta pengundi kawasan terbabit untuk terus memberi sokongan kepada Datuk Dr Dzulkefly Ahmad pada pilihan raya kali ini.
Beliau juga percaya mantan menteri kesihatan itu bakal dipilih memikul tanggungjawab sama sekiranya rakyat memberi mandat kepada HARAPAN menerajui Putrajaya.
“Dr Dzul mempunyai langkah dan pemikiran yang betul untuk pulihkan negara (dalam sektor kesihatan) untuk kebaikan rakyat Selangor khasnya dan Malaysia amnya.
“Beliau bukan orang baharu, sudah masuk dua penggal di sini. Jadi saya minta tolong banyak-banyak supaya undi, sokong dan menangkan beliau,” katanya hari ini.
Berucap dalam majlis makan tengah hari di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah di sini, Dato’ Menteri Besar turut menasihati penduduk yang layak mengundi supaya menjalankan tanggungjawab pada Sabtu ini.
“Cari anak-anak, saudara-mara, cucu-cucu berusia 18 tahun ke atas dan beritahu mereka jangan lupa mengundi.
“Ini soal negara dan kita kena tengok bukan nama serta kredibiliti (calon) semata-mata tetapi bagaimana partinya mahu pergi dan apa hendah dibuat,” katanya.