Geotaman Gombak-Hulu Langat merangkumi 20 geotapak dikenal pasti berpotensi dan mempunyai kepentingan geologi adalah aset sangat bernilai untuk Selangor dan negara. Foto Facebook GOMBAK-HULU LANGAT GEOPARK
AGENDANASIONAL

Negeri pertimbang beli tanah sekitar Geotaman Gombak-Hulu Langat

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 17 NOV: Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk membeli tanah sekitar Geotaman Gombak-Hulu Langat (GHL) demi memastikan geotaman pertama negeri terpelihara.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya akan melihat kos pembelian tanah-tanah tersebut sebelum membuat sebarang keputusan kerana melibatkan jumlah yang besar.

“Kita kena tengok prosesnya macam mana kerana ini sudah pasti membantu penjagaan geotaman dan pembangunan di situ juga dapat dikawal kalau ia (tanah berhampiran) milik kerajaan negeri.

“Lebih baik Kerajaan Negeri beli, jadi mereka (pemilik) tidak boleh melakukan pembinaan sesuka hati, misalnya hotel atau kilang. Kalau kita ganti atau bayar (tanah), mereka boleh gunakan aset itu di tempat lain,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas berucap dalam Majlis Sembang Santai Bersama Persatuan Penduduk dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Hulu Klang di Serasa Garden, Taman Melawati di sini hari ini.

Amirudin menambah, kerjasama pihak berkuasa tempatan terlibat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Friend of The Geopark diperlukan untuk membangunkan kawasan geotaman tersebut.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli semalam mengumumkan kawasan Geotaman GHL dan Stong Geopark diiktiraf sebagai geotaman kebangsaan bawah Program Pembangunan Geopark.

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan pada 14 November iaitu pengiktirafan ketujuh dan kelapan selepas Lembah Kinta dan Lenggong Geopark di Perak, Jerai Geopark (Kedah), Kinabalu Geopark (Sabah), Labuan Geopark (Labuan) dan Sarawak Delta Geopark (Sarawak).

Berkeluasan 1,129.55 kilometer persegi, Geotaman GHL kaya dengan geotapak pelbagai taraf selain kewujudan kuarza terpanjang Asia Tenggara, landskap pergunungan serta pembentukan beberapa lembangan daratan.


Pengarang :