SHAH ALAM, 21 NOV: Lebih 5,000 daripada 8,000 pemegang sijil halal seluruh negara direkodkan di Selangor setakat ini.
EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata daripada jumlah itu, sebanyak 70 peratus pemegang merupakan orang bukan Islam.
“Ertinya sebahagian besar pemegang sijil halal ini berada di Selangor. Apa yang lebih menarik perhatian kita apabila kebanyakan pemohon adalah orang bukan Islam.
“Ini kerana jika peniaga muslim jual nasi lemak, orang tidak akan tanya ada sijil halal atau sebaliknya (kerana) mereka yakin halal, tetapi kalau kedai mamak mereka akan tanya,” katanya.
Bercakap pada sesi dialog bersama usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) baru-baru ini, beliau berkata pihaknya juga sentiasa berunding dengan pengusaha restoran mamak supaya mendapatkan pensijilan halal bagi mengelak pengguna was-was.
“Sudah tentu panel penilai memberi hujah dan penilaian sewajarnya sebelum mereka layak mendapat sijil halal,” katanya.
Mengulas cabaran memohon pensijilan itu, Mohd Zawawi berkata kekangan sering dihadapi pemohon yang membuka premis di tanah pertanian, wakaf atau kerajaan dan kampung.
“Justeru untuk memperoleh sijil halal, pemohon kena ada premis yang mendapat pengesahan keselamatan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kemudian pihak pengurusan akan membuat pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya terhadap mereka,” katanya lagi.