Oleh SHAMZ JOHAN
HULU SELANGOR, 22 NOV: Sebanyak 28 kes baharu demam denggi dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-46 (13/11/2022 – 19/11/2022) menjadikan kes kumulatif setakat ini sebanyak 593 kes bagi daerah Hulu Selangor.
Berdasarkan maklumat dimuat naik menerusi laman Facebook Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, memaparkan jumlah kes paling tinggi di lokaliti wabak terkawal sebanyak tujuh kes di Apartment Seri Tulip, Bukit Sentosa.
Manakala di Batang Kali, menunjukkan laporan kes paling tinggi dengan 46 dan diletakkan dalam senarai lokaliti wabak ‘hotspot’.
Kawasan lain yang turut diletakkan dalam senarai sama adalah Apartment Dahlia, Bukit Beruntung dengan 10 kes.
Walaupun jumlah sedikit menurun berbanding ME-44 dengan 29 kes, orang ramai tetap dinasihati berwaspada dan segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital jika mengalami tanda dan gejala demam denggi.
Penduduk juga disarankan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran rumah.