Pengundi menunaikan tanggungjawab dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun, Cheras pada 19 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

3,483 laporan polis diterima babit kesalahan PRU15

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Polis telah menerima sebanyak 3,483 laporan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh bermula 4 November hingga semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali berkata daripada jumlah itu, Kedah mencatatkan jumlah laporan kesalahan tertinggi iaitu sebanyak 453, diikuti Selangor (449), Pahang (433), Kelantan (432); Perak (335) serta Johor (304).

Sebanyak 236 laporan pula diterima di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur (224); Perlis (214); Sabah (120); Sarawak (88); Pulau Pinang (85); Terengganu (63) dan Melaka (47), katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sebanyak 515 kertas siasatan telah dibuka, 180 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dengan enam telah dituduh dan empat individu dijatuhi hukuman.

Sementara itu, Hazani yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman berkata semalam, enam kertas siasatan telah dibuka melibatkan enam di Kelantan dan masing-masing satu di Perak, Melaka, Johor dan Sabah.

– BERNAMA


Pengarang :