Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
SHAH ALAM, 23 NOV: Lebih 400,000 warga emas Selangor mendaftar dengan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) tahun ini yang ditawarkan Kerajaan Negeri menerusi insentif Iltizam Selangor Penyayang.
EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata insentif ini membolehkan ahli berdaftar berumur 60 tahun ke atas menerima baucar hadiah hari jadi sebanyak RM100.
“Ini bermakna Kerajaan Negeri perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM40 juta untuk inisiatif menyantuni golongan warga tua semasa hayat mereka.
“Selain itu, bawah program ini juga ada khairat kematian RM500 dengan peruntukan RM7.5 juta tahun ini,” katanya semalam.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis perasmian dan simbolik penyerahan peruntukan program santuni pusat kebajikan Selangor yang menyaksikan 26 rumah kebajikan menerima peruntukan RM130,000 bagi memperkasa agenda kebajikan masyarakat.
SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.
Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk sebanyak RM27.5 juta bagi kelangsungan program tahun ini.