Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
SHAH ALAM, 22 NOV: Wakil pengurusan rumah kebajikan terharu dengan keprihatinan Kerajaan Negeri yang menyalurkan dana untuk memperkasakan agenda pendidikan warga institusi itu.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor Hazlina Abd Razak berkata pihaknya akan memanfaatkan bantuan RM5,000 untuk menampung perbelanjaan menambah tenaga pengajar di pusat berkenaan.
“Kita akan manfaatkan (dana ini) untuk pendidikan mereka sebagai contoh menambah tenaga pengajar untuk modul yang disediakan di sini bukan saja ke arah pemulihan akhlak namun rohani dan juga akal mereka.
“Ada bekas penghuni di sini sudah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat doktor falsafah membuktikan modul pemulihan yang digunakan di sini boleh terus dipertingkat dan ditambah baik,” katanya semalam.
Terdahulu, sebanyak 26 rumah kebajikan menerima sumbangan RM130,000 menerusi program Santuni Rumah Kebajikan di sini yang disempurnakan EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau.
Sementara itu, Pembantu Luar Rumah Kasih Harapan Kota Damansara Adam Ismail berkata bantuan itu akan dimanfaatkan untuk pembelian keperluan persekolahan bagi sesi 2023 untuk penghuni rumah berkenaan.
“Ada seramai 18 penghuni di sini yang masih bersekolah, jadi ia akan digunakan untuk membeli kelengkapan seperti baju sekolah, kasut, beg, alat tulis dan lain-lain keperluan,” katanya.