SHAH ALAM, 26 NOV: Belanjawan Selangor 2023 memberi fokus kepada peluang pekerjaan, perumahan, alam sekitar, belia, wanita dan pendidikan, kata Dato’ Menteri Besar.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari tumpuan itu bagi menangani jangkaan kemelesetan ekonomi tahun hadapan, kesan geopolitik peperangan Ukraine dan gangguan rantaian bekalan dari China.
“Kita harap usaha ini akan melonjakkan kemajuan, meneruskan kecemerlangan, mengeratkan perpaduan rakyat dan menjayakan harapan di Selangor selaras dengan aspirasi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2023 di Dewan Negeri Selangor semalam.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.45 bilion dalam Belanjawan 2023 sebagai persediaan mendepani kelembapan ekonomi tahun depan.
Bertema #KitaSelangor: Melonjak Kemajuan, Mengerat Perpaduan, Menjayakan Harapan, belanjawan tahun depan menggariskan lima teras utama iaitu:
– Mengukuhkan pertumbuhan ekonomi
– Membudaya perpaduan dan masyarakat penyayang
– Pendidikan dan pembangunan generasi masa depan
– Kehidupan lestari dan sejahtera
– Tadbir urus cekap dan bertanggungjawab