OLEH SHAMZ JOHAN
AMPANG, 27 NOV: Orang ramai menyifatkan nilai baucar beli-belah atau Jom Shopping yang dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 tepat pada masanya berikutan kenaikan harga barang ketika ini.
Mereka khususnya keluarga berpendapatan rendah bersyukur dan gembira dengan bantuan yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lepas.
“Tepat pada masanya (kenaikan nilai baucar), sekarang barang mahal dan jumlah yang dinaikkan ini dapat membantu keluarga beli barangan dapur,” kata pekerja swasta Muhd Faris Mustaqim Abdullah, 36.
Bagi Mohd Zarul Mohd Ali, 37, beliau memuji inisiatif yang dapat meringankan beban rakyat dan pada masa sama dapat membantu keluarga membeli barang keperluan khususnya pada musim perayaan.
“Kita terima dengan baik, (baucar) sangat membantu, terutama untuk golongan berpendapatan rendah.
“Nilai ini cukup untuk beli keperluan dan dapat beli baju raya juga,” katanya yang bersyukur dan berterima kasih dengan Kerajaan Negeri dan Dato’ Menteri Besar.
Dalam pembentangan itu juga Amirudin turut mengumumkan had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping ditingkatkan daripada RM2,000 sebulan kepada RM3,000 sebulan mulai tahun depan.
Sebanyak RM16.48 juta diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2023 untuk program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.
Program ini merupakan bantuan yang dilaksanakan bersempena tiga perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.
Sementara itu, suri rumah, Norhafizah Ali, 36, berkata baucar itu dapat membantu ekonomi setempat apabila orang ramai membeli belah pada musim perayaan.
“Program sangat baik untuk keluarga kurang berkemampuan. Dapat mengurangkan beban mereka selain membantu dari segi penjimatan dan bantuan makanan.
“Ekonomi setempat juga mendapat manfaat apabila lebih ramai orang keluar membeli belah,” katanya.
Penulis bebas Yusliza Yakimir Abdul Talib, 36, berkata usaha mempromosikan bantuan itu perlu ditingkatkan lagi supaya lebih ramai golongan sasar dapat maklumat yang jelas mengenainya.
“Perlu pastikan usaha mempromosikan bantuan dipertingkatkan. Saya juga tak pernah dapat, kerana tidak tahu saluran mana yang perlu ditanya.
“Ramai yang mahu tahu (bantuan lain) lagi,” katanya.