AGENDAJENAYAH

Polis tahan empat lelaki ejen judi Piala Dunia di KL

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 28 NOV: Empat lelaki tempatan ditahan disyaki menjadi ejen bookie pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

Mereka ditahan dalam serbuan di Taman Bukit Maluri, Kepong, Sabtu lalu jam 10.15 malam, lapor Sinar Harian.

Ketua polis Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata tiga unit telefon bimbit, modem, komputer riba dan kunci rumah dirampas.

“Siasatan mendapati kegiatan perjudian itu berselindung di sebalik sebuah rumah dan dipercayai telah beroperasi sejak sebulan lalu,” katanya.

Sementara itu, di Perak, tiga lelaki ditahan dalam dua serbuan di Ipoh dan Hilir Perak menerusi Op Soga semalam.

Ketua polisnya Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata suspek berusia 20-an hingga 50 tahun, lapor Berita Harian.

“Secara keseluruhan, tiga lelaki ditangkap menerusi Op Soga IX IPK Perak membabitkan nilai pertaruhan RM900 iaitu RM500 di Ipoh dan RM400 di Hilir Perak,” katanya

Piala Dunia Qatar 2022 bermula pada 20 November lalu. Temasya sukan dunia itu menyaksikan sebanyak 32 pasukan berentap sehingga 18 Disember.


Pengarang :