SHAH ALAM, 3 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) giat melaksanakan kerja pembersihan di Apartmen Saraka dan Sri Penaga, Puchong yang terjejas akibat tanah runtuh semalam.
EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pihak berkuasa tempatan itu turut melakukan analisa terhadap cerun termasuk menutupnya dengan kanvas bagi mengurangkan risiko runtuhan.
“Sebanyak empat kenderaan di Apartmen Saraka dan sebuah kenderaan di Apartmen Sri Penanga mengalami kerosakan. Mujurnya tiada kecederaan berlaku.
“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah disediakan oleh MBSJ di Dewan Serbaguna Laman Puteri, namun tiada mangsa yang terkesan berpindah ke PPS tersebut. Oleh itu PPS telahpun ditutup,” katanya di Facebook hari ini.
Semalam, insiden tanah runtuh berlaku di dua lokasi berkenaan sekitar jam 8.00 malam ketika hujan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku namun beberapa buah kenderaan rosak akibat dihempap runtuhan tanah.
Justeru, Sze Han menyeru semua penduduk agar memberi kerjasama kepada agensi yang menjalankan tugas termasuk menjauhkan diri dari tapak runtuhan.