SHAH ALAM, 9 DIS: Karya terjemahan Hamza Yusuf, Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya terus diburu di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022.
Buku tulisan ilmuwan tersohor yang baharu diterbitkan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) pada bulan lalu menarik minat pengunjung sejak hari pertama pesta buku negeri.
Selain itu, karya terjemahan Frank Swettenham, Gelagat dan Ragam Orang Melayu turut laris di reruai IBDE.
Menurut Facebook IBDE, naskhah terjemahan Hikayat Merong Mahawangsa karya Hendrik M.J Maier, Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal Edisi Khas oleh Muhammad Hussein Haikal dan Strategi Rahsia China: Gerak 100 Tahun Atasi Amerika oleh Michael Pillsbury turut laris terjual.
SIBF 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sehingga 11 Disember, bermula 10 pagi hingga 10 malam.
Terdapat 295 gerai pameran dibuka dengan 13 daripadanya adalah gerai antarabangsa melibatkan China, Singapura dan Indonesia.