Anggota bomba dan penyelamat melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mayat ibu dan anak perempuannya ditemukan dalam keadaan berpelukan

BATANG KALI, 16 DIS: Mayat ibu dan anak perempuannya dipercayai berusia lingkungan tiga tahun dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Gohtong Jaya di sini ditemukan dalam keadaan berpelukan, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata mayat ke-17 dan 18 itu ditemui di tapak perkhemahan bersebelahan sungai pada jam 4.40 petang.

“Pada jam 5 petang pula, pasukan penyelamat menjumpai satu lagi mayat berhampiran kawasan yang sama dan usaha untuk mengeluarkan mayat berkenaan sedang dijalankan,” katanya pada sidang media di lokasi berkenaan.

Norazam berkata 19 mayat telah dijumpai setakat petang ini manakala 14 lagi masih hilang.

“Usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan tanpa henti sehingga semua mangsa ditemui,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata operasi akan dihentikan sekiranya hujan lebat.

Lebih 700 anggota penyelamat terlibat dalam operasi itu yang bertugas secara bergilir-gilir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Suffian Abdullah berkata waris mangsa yang terkorban boleh hadir ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses pengecaman.

– BERNAMA


Pengarang :