EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping bergambar bersama pemenang Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) edisi ketujuh di Hotel Mandarin Oriental pada 17 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sidec rai 10 pemenang anugerah peniaga e-dagang

KUALA LUMPUR, 17 DIS: 10 syarikat tempatan dirai dalam Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) edisi ketujuh di Hotel Mandarin Oriental hari ini.

Mereka dipilih daripada 240 syarikat yang bersaing merebut anugerah berprestij anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec berkata sebanyak RM58.9 juta nilai jualan dengan 427,643 pesanan direkodkan daripada semua peserta yang menyertai Top ECM kali ini.

“Pada tahun ini juga kita terima penyertan tertinggi dalam tempoh tujuh tahun penganjuran, iaitu sebanyak 440 permohonan berbanding hanya 213 permohonan tahun lalu.

“Ini menunjukkan Top ECM diiktiraf dan dihargai oleh peniaga e-dagang kita. Pada yang sama, mereka juga berpeluang meningkatkan penjenamaan mereka dalam industri,” kata Yong Kai Ping.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Top ECM 2022 yang dirasmikan EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Top ECM 2022 dianjurkan dengan kerjasama Affin Bank Berhad sebagai penaja utama sementara Subplace menjadi platform e-dagang rasmi dan Federal Express Services (FedEx) Malaysia, rakan logistik rasmi.

Peserta dinilai panel hakim dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Internet Alliance (IA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).


Pengarang :