Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini (berdiri, tengah) bergambar bersama pembayar zakat peniagaan dalam satu majlis di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Shah Alam pada 20 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS agih RM77.7 juta bantu asnaf sara hidup, sedia skim pendidikan

SHAH ALAM, 20 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan berjumlah RM77.7 juta tahun ini kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf serta institusi agama dan sekolah.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata Bantuan Zakat Selangor Peduli 2022 meliputi 10 inisiatif iaitu bantuan sara hidup sebanyak RM33.5 juta dan Skim Pendidikan Zakat Anak Selangor (RM20 juta).

Menurut Mohd Sabirin Mohd Sarbini, sumbangan lain termasuk agihan perabot kepada sekolah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor sebanyak RM10 juta dan bantuan makanan (RM2 juta).

“Sebanyak RM9.95 juta diperuntuk kepada Dermasiswa Hafiz al-Quran, RM1 juta untuk membina bangunan Sekolah Agama Rendah Puncak Alam 1 dan RM500,000 bagi menaik taraf Balai Islam Pulau Ketam.

“Sebanyak RM430,000 bagi pelupusan al-Quran dan buku agama, pembelian set perlindungan petugas jenazah Covid-19 (RM180,000) dan baik pulih balai pelawat Hospital Ampang (RM180,000),” katanya.

Beliau memaklumkan perkara itu ketika berucap pada majlis penyerahan zakat perniagaan LZS di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini hari ini.

Mohd Sabirin berkata pihaknya turut memperuntuk RM19.2 juta bagi operasi monsun dan bencana banjir untuk mengurangkan beban mangsa, selain menyokong operasi pusat pemindahan sementara.

“Semua ini adalah sebahagian 2.5 peratus zakat yang telah diamanahkan kepada kami untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya lagi.


Pengarang :