Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
KLANG, 22 DIS: Sebanyak 400 baucar Jom Shopping disediakan kepada masyarakat Tionghoa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sempena Tahun Baharu Cina tahun depan.
Wakil rakyatnya Dr G Gunarajah berkata permohonan dibuat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa dan dibuka sehingga awal Januari depan.
“Kita juga bekerjasama dengan persatuan dan tokong untuk mengumpul nama dan mengenalpasti mereka yang layak menerima bantuan,” katanya.
Terdahulu beliau menghadiri majlis penyerahan komputer riba oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 16 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah DUN Sentosa hari ini.
Sebanyak RM16.48 juta diperuntuk dalam Belanjawan Selangor 2023 untuk menjayakan program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang bakal memanfaatkan 82,400 penerima.
Selain itu, Gunarajah berkata DUN Sentosa juga memperuntukkan RM30,000 untuk bantuan kepada kira-kira 15 tokong sempena Tahun Baharu Cina.
“Seperti Aidilfitri kita salurkan untuk masjid, Deepavali kepada Kuil Hindu, Krismas disalurkan kepada gereja dan bagi Tahun Baharu Cina untuk tokong.
“Ia bagi membantu mereka untuk pembayaran bil air dan elektrik selain program kemasyarakatan,” katanya.