Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur murah sempena jualan penutup Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang bagi 2022 di Taman Pelangi pada 24 Disember 2022. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

300 kampit beras habis dalam sejam di jualan murah DUN Rawang

Oleh DIANA ABD WAHAB

RAWANG, 24 DIS: Sebanyak 300 kampit beras habis terjual dalam masa satu jam pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang hari ini.

Penyelia Outlet Wisma PKPS, Mohd Fairul Rafiqh Mas’on berkata ia mengejutkan kerana barangan paling laris dan menjadi rebutan sepanjang penganjuran jualan murah itu adalah telur dan ayam.

“Tak sangka JER di DUN Rawang ini orang ramai berebut beli beras. Biasanya beras dan minyak masak barang paling akhir terjual. Ada kala kita terpaksa bawa pulang semula stok yang tak habis dijual ke ibu pejabat.

“Biasanya orang ramai merayu beli telur lebih daripada sepapan, kali ini yang merayu kecewa kerana terpaksa pulang dengan tangan kosong tak dapat beli beras walaupun kita tak hadkan pembelian,” katanya kepada Selangorkini.

Penyelia Outlet Wisma PKPS, Mohd Fairul Rafiqh Mas’on. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Beliau berkata sempena jualan penutup, selain beras PKPS turut menyediakan 1,200 ekor ayam, 300 papan telur, 400 pek daging, 144 botol minyak masak, 200 pek ikan dan isi udang sejuk beku di situ.

Jelajah jualan murah itu menyediakan barangan asas seperti ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Barangan kering jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tiram, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering seri kaya dan cili giling turut dijual pada jualan penutup JER tahun ini.

Petugas PKPS melayan pertanyaan orang ramai mengenai produk jenama Ehsan PKPS sempena jualan penutup Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang di Taman Pelangi pada 24 Disember 2022. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Semua barangan terbabit dijual serendah RM3 dan paling mahal RM37 bagi satu tin biskut seberat 2.5 kilogram. Barangan ini dijual RM0.30 hingga RM0.50 lebih murah berbanding harga pasaran.

Program yang berlangsung di 56 DUN dimulakan sejak 6 September lalu akan disambung semula pada 16 Januari depan susulan sambutan menggalakkan.

Inisiatif yang memanfaatkan kira-kira 800,000 penduduk bagi meringankan beban orang ramai mencatat nilai jualan melebihi RM16 juta setakat ini.


Pengarang :