Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan simbolik penyerahan cek cura sumbangan banjir #KitaSelangor 2022 kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika kunjungan hormat di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di Kota Baharu pada 27 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB serah bantuan banjir RM500,000 kepada Kelantan

KOTA BHARU, 27 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan banjir bernilai RM500,000 kepada kerajaan Kelantan hari ini.

Cek cura bantuan #KitaSelangor diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan sebagai simbolik memandangkan ia sudah disalur ke akaun kerajaan Kelantan baru-baru ini.

Serahan dibuat dalam kunjungan hormat beliau di kediaman rasmi Datuk Ahmad Yakob di Kampung Sirih, diiringi Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat menyampaikan sendiri sumbangan kepada Menteri Besar Kelantan (dalam bentuk cek cura) sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini.

“Diharap bantuan tersebut dapat membantu pihak berkenaan mengurus mangsa yang terjejas akibat bencana,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika kunjungan hormat majlis simbolik penyerahan sumbangan banjir #KitaSelangor 2022 di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di Kota Baharu pada 27 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin juga percaya kerajaan Kelantan mempunyai perancangan tersendiri untuk menggunakan peruntukan tersebut bagi membantu mangsa bencana.

“Mereka ada pelbagai fokus, sudah pasti bab infrastruktur, bantuan dan sebagainya. Jadi terpulang kepada mereka untuk menetapkan keutamaan,” katanya.

Pada 20 Disember lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Selangor menghulurkan sumbangan RM1 juta kepada Kelantan dan Terengganu bagi membantu menguruskan banjir di negeri terbabit.

Bantuan itu sebagai tanda simpati dengan nasib menimpa rakyat di dua negeri berkenaan.


Pengarang :