KUALA LUMPUR, 10 JAN: Kerajaan Negeri berhasrat menganjurkan Ekspo Kecantikan dan Estetika Antarabangsa Selangor bagi mengangkat industri itu ke tahap lebih tinggi.
EXCO Perdagangan dan Perindsutrian Dato’ Teng Chang Khim berkata pihaknya akan berbincang dengan pemain industri memandangkan Selangor tiada pengalaman dalam aspek itu.
“Saya melihat ada ruang yang amat baik sekiranya kita dapat menggunakan platform ini (ekspo) untuk mengembangkan lagi industri kecantikan dan estetika.
“Untuk Selangor, kita belum ada pengalaman dan pengetahuan dalam bidang ini. Sudah tentu akan ada ruang untuk kita bincang bersama selain melihat kemungkinan mengadakan ekspo berkenaan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Clara International Beauty Group (CIBG) dan Slim Beauty House Jepun di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mou pembangunan akademi serta latihan dan kemahiran kecantikan ditandatangani Pengasas dan Pengerusi Clara International Profesor Datin Dr Clara Chee manakala Slim Beauty diwakili Pengasas merangkap Ketua Pengawai Eksekutif Saiko Nishizaka.
Dalam pada itu, Chang Khim berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama pihak terbabit dalam mengukuhkan kedudukan sebagai penggiat industri kecantikan selain bersedia memberi sokongan yang sewajarnya jika diperlukan.
“Kerjasama dua syarikat terkemuka ini amat membanggakan. Setakat ini, mereka belum memerlukan apa-apa sokongan daripada Kerajaan Negeri tetapi sekiranya diperlukan kita akan lihat bagaimana kita dapat bantu,” katanya.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Clara International berkata program latihan ditawarkan kepada pelajar Jepun yang berminat menyambung pengajian diploma Comite International d’Esthetique et de Cosmetologie (CIDESCO) dalam jurusan spa dan terapi kecantikan.
Menurut Dr Woo Wee Kang, pelajar terbabit akan mengikuti pembelajaran teradun (blended learning) membabitkan tiga bulan kelas teori secara maya yang dijangka bermula suku pertama tahun ini.
“Setelah selesai kelas teori, mereka perlu menjalani temu duga atau ujian penilaian dalam talian. Calon yang layak akan meneruskan pengajian secara praktikal di Clara International Education, Kuala Lumpur.
“Pelajar juga akan dianugerahkan Diploma CIDESCO dan pensijilan antarabangsa Clara yang membantu meningkatkan kebolehpasaran kerja,” katanya.