Anggota bomba dan Pasukan Khas Pertahanan Awam giat menjalankan proses mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh dalam kejadian di sebuah tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto Facebook Bernama Radio
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tragedi Batang Kali: Kisah penyelamat sabung nyawa cari mangsa tertimbus

Tragedi Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu disifatkan kejadian tanah runtuh kedua paling buruk di negara ini selepas insiden kondominium Highland Towers tumbang pada Disember 1993.

Pergerakan tanah yang menimpa tapak perkhemahan Father’s Organic Farm mengorbankan 31 jiwa daripada 92 orang yang bercuti di kawasan itu.

Operasi mencari mangsa dan menyelamat hingga 24 Disember tahun lalu menguji anggota agensi terbabit lantaran cuaca tidak menentu selain faktor tanah yang lembut kerana hujan. Wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK merakam pengalaman anggota penyelamat yang terlibat dalam operasi itu.


SHAH ALAM, 13 JAN: Panggilan telefon sekitar jam 3 pagi mengejutkan Mustakim Rimon. Tersentak menerima maklumat kejadian tanah runtuh yang dahsyat di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor, pegawai kanan bomba itu bingkas bangun dari katil.

Lebih 100 orang terperangkap? Sukar untuk beliau menerima bulat-bulat berita itu. Sepanjang 10 tahun berkhidmat, kini berpangkat penguasa kanan bomba II, itulah kejadian terburuk pernah diterimanya.

Selepas tragedi itu disahkan, pegawai berusia 40 tahun itu bergegas ke ibu pejabat di Bukit Jelutong, Shah Alam. Bersama anggota pasukan, beliau mengambil kelengkapan menuju ke lokasi runtuhan menaiki kenderaan khas.

Mayat terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali dibawa keluar pada 4.53 petang 24 Disember 2022. Foto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia

Mustakim yang juga pegawai kanan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Selangor turut memohon bantuan pasukan negeri lain. Tragedi sedahsyat itu pasti memerlukan bilangan tenaga kerja yang ramai lagi cekap.

Di lokasi, suasana begitu sunyi. Namun, kelibat anggota balai Kuala Kubu Bharu kelihatan di mana-mana. Mereka paling awal tiba diikuti agensi lain termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam. Mustakim kemudian diberitahu seramai 38 orang telahpun dikeluarkan. Namun, ramai masih terperangkap. Hidup mati mereka tidak diketahui lagi.

Berbekal lampu suluh, beliau dan pasukannya memulakan usaha mencari mangsa runtuhan. Kira-kira 10 minit perjalanan, mereka terserempak pasukan penyelamat yang membawa keluar mayat dua beranak dari sebuah kereta yang dipercayai dijadikan tempat tidur.

Pencarian diteruskan. Meredah laluan berselut dan permukaan licin dalam gelap, Mustakim dan pasukannya sentiasa berhati-hati walau sesekali dihimpit rasa cemas, bimbang berlaku runtuhan susulan pula. Tidak lama kemudian, mereka terdengar jeritan meminta pertolongan.

Selepas mengenal pasti arah suara itu, mereka segera menghala ke sana dan menemui seorang mangsa yang separuh anggota tubuhnya terbenam dalam tanah. Cepat-cepat mereka keluarkan mangsa itu untuk rawatan. Keadaannya sangat lemah. Sebahagian anggota pasukannya terpaksa mengusungnya ke pintu masuk untuk menerima rawatan pasukan perubatan Hospital Selayang.

Sehelai sepinggang

Kira-kira jam 5 pagi, mereka bertembung 21 peserta perkhemahan yang berlindung tidak jauh dari lokasi tanah runtuh. Mereka hanya sehelai sepinggang. Tiada lampu suluh atau makanan mahupun pakaian tebal.

Mereka antara sebahagian yang sempat menyelamatkan diri ketika runtuhan berlaku. Kesan khemah yang ranap ditimpa tanah dan batu masih kelihatan. Barangkali lega diselamatkan pasukan keselamatan, kumpulan itu bertalu-talu mengucapkan terima kasih.

“Ucapan itu benar-benar menguatkan semangat kami untuk terus membantu dan mencari mangsa lain,” kata Mustakim kepada Selangorkini baru-baru ini.

Namun, Mustakim tersayat saat menyaksikan mangsa menangisi pemergian insan tersayang. Wanita itu tak henti-henti meraung saat menyaksikan mayat anaknya dibawa keluar anggota penyelamat. Mustakim percaya wanita tersebut menaruh keajaiban supaya anaknya masih boleh diselamatkan. Hakikatnya, anaknya sebenarnya tidak lagi bernyawa. Namun, di sebalik simpati mendalam terhadap mereka, demi tugas, beliau terpaksa berbohong kepada mangsa.

Pasukan bomba membawa mayat yang ditemui di lokasi kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 18 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

“Bila kami periksa nadi, memang tiada tanda ahli keluarganya masih bernyawa tetapi kami pujuk wanita itu dan kata akan bawa kepada pasukan perubatan. Wanita itu menangis dan meraung. Siapa tidak sedih lihat di depan mata sendiri, ahli keluarga tertimbus tanah,” katanya yang mengakui menahan emosi, tidak mahu perasaan sedih mempengaruhi operasi menyelamat yang masih berlangsung.

Pengalamannya menyayat hati turut dikongsi Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Selangor Hilmi Husman Tiba di lokasi jam 3.15 pagi, beliau dan anggota lain ketika operasi tersebut bertembung seorang lelaki dalam keadaan panik. Lelaki itu merayu supaya mereka menyelamatkan anak isterinya yang terperangkap dalam kereta. Berpandu bunyi hon, mereka menemui kenderaan itu dalam keadaan terjungkir bersama serakan beberapa kereta lain, sebahagiannya ditimbusi tanah.

“Apabila jumpa kereta itu, kami lihat ada seorang wanita, dalam keadaan lemah meminta kami selamatkan anaknya yang berada di but terlebih dahulu. Anak lelakinya itu dianggar berusia tujuh tahun. Ketika ditemui, mukanya telah pucat. Kami cuba beri bantuan pernafasan tetapi tidak berjaya,” katanya.

Bagi mengelakkan emosi si ibu terganggu, mereka merahsiakan kematian itu sebaliknya membantu wanita berkenaan keluar dari kereta, tempat mereka bermalam sebelum runtuhan terjadi.

Cemas

Satu lagi pengalaman yang menyentuh perasaan Hilmi selaku ketua keluarga saat beliau mengeluarkan mayat ibu dan anak yang ditemui mati berpelukan di sebuah khemah. Khemah itu habis musnah dek runtuhan tanah. Mayat dua beranak itu ditemui selepas pasukannya membuat pemeriksaan rawak di tapak khemah yang penuh timbunan lumpur. Mereka menggunakan cangkul dengan penuh hati-hati bagi mengasingkan lumpur sebelum menemui mayat tersebut.

Hilmi dapat merasakan wanita itu, dalam suasana penuh cemas, sedaya upaya melindungi anaknya yang ketakutan. Menyaksikan kepiluan itu, Hilmi terkenang isteri dan anak perempuannya berusia lapan tahun di rumah. Tidak dapat dibayangkannya jika beliau berdepan situasi seperti itu.

Anggota bomba dan penyelamat melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA

“Saya terbayang bagaimana jika kejadian ini terjadi kepada ahli keluarga? Bolehkah saya hadapi dugaan sebesar ini? Sebab itu, ketika bertugas tempoh hari, saya sedaya upaya cari mangsa sama ada hidup atau telah pergi. Kalau telah meninggal dunia, biar waris mereka dapat kebumikan dengan sempurna,” katanya yang berusia 36 tahun.

Bersama anggota pelbagai agensi, Hilmi terlibat dalam operasi itu sejak hari pertama hingga ke hari terakhir pada 24 Disember tahun lalu apabila mangsa terakhir, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi pada 16 Disember tahun lalu, seramai 31 orang maut manakala 61 lagi terselamat.


Pengarang :