Pelukis Ellie (kanan) menunjukkan mural yang telah siap dibaik pulih kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku Lim Yi Wei (dua, kanan) dan Ahli Majlis Zon 8 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Billy Wong Swee Sang di SS2, Petaling Jaya pada 17 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNAGENDABERITA UTAMA

Sentuhan Silly jadikan lukisan mural pudar kembali menarik, ceria

PETALING JAYA, 17 JAN: Tujuh lukisan mural pudar di sekitar pusat komersial SS2 di sini kembali berseri selepas proses pemulihan dilakukan pelukis, Silly Jellie.

Sentuhan Silly atau lebih dikenali Ellie yang menjalankan proses berkenaan dari Oktober hingga Disember lalu menjadikan kawasan itu semakin menarik dan ceria.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku berkata cadangan proses pemulihan itu tercetus selepas beliau dihubungi Silly yang mahu melakukan baik pulih terhadap karyanya di kawasan tersebut.

ADN Kampung Tunku Lim Yi Wei (kiri) melihat mural Ellie yang telah siap dibaik pulih di dinding lot kedai Jalan SS2/64, Petaling Jaya pada 17 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Lim Yi Wei berkata usaha pemulihan itu mendapat peruntukan RM19,500 daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Jun lalu saya dihubungi Silly yang meluahkan hasrat untuk memulihkan muralnya di SS2.

“Kami memutuskan untuk menyokong permintaan beliau, dengan sokongan Ahli Majlis MBPJ Zon 8 dan Persatuan Penduduk SS2 Selatan,” katanya ketika ditemui di kawasan itu hari ini.

Yi Wei berkata Silly merupakan salah seorang pemenang pertandingan mural dinding ‘Bestnya Malaysiaku’ yang dianjurkan bekas ADN Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan MBPJ pada 2015 di kawasan itu.

Pelukis mural Ellie menunjukkan karyanya yang telah siap dibaik pulih di SS2, Petaling Jaya pada 17 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya pertandingan itu bertujuan memberi wajah baharu kepada pusat komersial SS2 selain menarik pengunjung ke kawasan tersebut.

Yi Wei menjelaskan Silly turut diberi peluang melaksanakan kerja baik pulih enam mural lain selepas pelukis asal mural berkenaan mempunyai komitmen lain.

Lukisan mural yang telah dibaik pulih oleh Ellie di dinding lot kedai Jalan SS2/64, Petaling Jaya pada 17 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Silly ambil masa lebih dua bulan untuk siapkan tujuh mural itu dan kami berterima kasih atas semangat serta dedikasinya menyiapkan projek pemulihan ini,” katanya.


Pengarang :