Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi menerangkan kepada orang awam yang hadir berkenaan statistik inventori cerun ketika Sesi Dialog Awam ‘Townhall’ Pengurusan Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Menara MPAJ, Ampang Jaya pada 19 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPAJ tebang semua pokok di 61 cerun mulai April untuk elak pergerakan tanah

OLEH AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 20 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menebang semua pokok di 61 cerun berisiko tinggi di bawah pemilikannya bagi mengurangkan beban sekali gus mengelak berlaku pergerakan tanah yang boleh mengundang kejadian tanah runtuh.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ Ir. Zafrul Fazry Mohd. Fauzi berkata 45 daripada cerun tersebut dikategorikan sebagai sangat bahaya manakala 14 lagi bahaya dan kos untuk menebang kesemua pokok tersebut yang dianggarkan RM7.3 juta ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

“Kita akan mula tebang semua pokok yang besar-besar ini secara serentak bermula bulan April ini dan baiki longkang di kawasan tersebut agar kawasan itu mudah dimasuki bagi melakukan pemeriksaan. Dijangka proses menebang pokok akan mengambil masa dua hingga tiga bulan.

“Tugas ini bukan mudah ditambah selepas setahun pokok ditebang akan tumbuh semula. Apa yang boleh kita lakukan ialah melakukan penyelenggaraan yang dianggarkan menelan kos RM1.5 juta setahun.” kata Ir. Zafrul Fazry Mohd. Fauzi.

Beliau berkata demikian selepas membuat pembentangan Pelan Tindakan Pengurusan Cerun dalam Program Dialog Awam Bersama Penduduk Ampang dengan topik: Pengurusan Cerun di Ampang di Auditorium MPAJ di sini malam tadi.

Hadir sama Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, Yang Dipertua MPAJ Mohd. Fauzi Mohd. Yatim, Pegawai Daerah Hulu Langat Dr. Ani Ahmad dan wakil Polis Daerah Ampang Deputi Superintenden Mohamad Fisol Abdullah.

Menurut Ir Zafrul Fazry pihaknya juga akan menjalankan kerja menstabilkan empat cerun yang sangat bahaya dengan anggaran kos RM5.9 juta dan memasang Sistem Amaran Awal di empat lagi cerun (anggaran RM4 juta).

“Lapan cerun ini termasuk dalam 61 cerun yang tersebut. Anggaran kos keseluruhan melibatkan kerja cerun ini ialah RM18.7 juta,” katanya.


Pengarang :