ADN Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) bersama pemenang pertandingan Rekabentuk Eko Brick Komuniti Puchong di Dewan Pangsapuri Melor, Taman Puchong Prima, Subang Jaya pada 29 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pemeriksaan gigi, telinga percuma bantu pesakit dapat rawatan awal

SUBANG JAYA, 30 JAN: Pemeriksaan gigi dan telinga pada program Selangor Saring Plus yang bermula bulan depan akan membantu pesakit mendapatkan rawatan lebih awal.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata menerusi saringan itu, peserta tidak perlu menahan sakit yang lama malah boleh mendapatkan rawatan segera di mana-mana klinik pilihan mereka.

“Tahun ini kita tambah gigi dan telinga. Kita bukan terus buat rawatan di situ tetapi nasihatkan mereka untuk terus berjumpa doktor. Contohnya jika ada masalah pendengaran atau bengkak gusi, kita akan lihat dulu sebelum beri cadangan.

“Selepas kita periksa, pesakit boleh terus mendapatkan rawatan di klinik kerajaan atau swasta. Jadi sakit ditanggung tidak lama,” katanya ditemui pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Program Inovasi Eco-Brick Rakan Komuniti @Puchong 2022 di sini semalam.

Wakil rakyat Seri Serdang itu berkata pihaknya turut menyediakan pakar bidang fisioterapi bagi mengajar teknik tepat kepada golongan memerlukan.

“Sesi fisioterapi bukan boleh dibuat sekali sahaja sebaliknya perlu kerap. Jadi pakar itu akan menunjukkan cara betul supaya pesakit boleh buat di rumah,” katanya.

Sebelum ini Dr Siti Mariah memaklumkan program kesihatan percuma Kerajaan Negeri disambung semula pada 18 Februari dengan beberapa penambahbaikan.

Tahun lalu Kerajaan Negeri memperkenalkan skim Selangor Saring bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal.

Program dari Mei hingga September itu melibatkan peruntukan RM3.4 juta menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Sepanjang tempoh itu lebih 45,000 peserta menjalani pemeriksaan kesihatan dengan 4,809 individu disaran mendapat rawatan lanjut.

Selain saringan fizikal, Selangor Saring turut menawarkan ujian darah dan air kencing, mata, barah pangkal rahim dan payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :