Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya dirakamkan pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Orang ramai diajak meriahkan hari tanpa kenderaan bandar raya Subang Jaya Ahad ini

SUBANG JAYA, 31 JAN : Orang ramai dipelawa memeriahkan program  Hari Tanpa Kenderaan MBSJ @ Selamat Pagi Subang Jaya anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 5 Februari ini.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain Che Ali berkata pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena program yang berlangsung di Jalan SS16/1 berhadapan pasar raya Aeon Big Subang Jaya, mulai 7 hingga 11 pagi.

“Pada edisi kali ini ada beberapa aktiviti tambahan diadakan antaranya Endurance Challenge (Basikal), Eco Free Market, Kejohanan Push Bike, Pertandingan Buskers dan Kejohanan Street Soccer Piala Datuk Bandar.

“Selain itu, terdapat juga aktiviti larian santai, berbasikal santai, pesta sarapan, kendera saji, pemeriksaan kesihatan percuma, bekam, memanah dan cabutan bertuah,” katanya dalam mesyuarat bulanan pihak berkuasa tempatan itu semalam.

Hari Tanpa Kenderaan MBSJ @ Selamat Pagi Subang Jaya yang bermula sejak Ogos tahun lalu itu dijalankan pada Ahad minggu pertama setiap bulan.

Program itu dianjurkan sebagai usaha menjadikan MBSJ sebagai bandar rendah karbon menjelang 2030.


Pengarang :