Jurusuntik memberi dos penggalak kepada peserta Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Masyarakat disaran ambil dos penggalak, suntikan percuma di Klinik Selcare

SHAH ALAM, 10 FEB: Kerajaan Negeri menggalakkan penduduk untuk mengambil dos penggalak yang ditawarkan secara percuma di Klinik Selcare.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata mereka boleh mendapatkan suntikan berkenaan menerusi janji temu atau datang terus ke klinik berkenaan.

EXCO Pembangunan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud berucap di Selangor Health Partnership Program (Selhep) 2022 pada 24 November 2022 di Ispace Plaza VADS, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Menjadi tanggungjawab masing-masing untuk mengambil dos penggalak kerana walaupun tidak dapat mencegah Covid-19 tetapi mampu menggelak jangkitan lebih teruk.

“Mereka boleh hubungi mana-mana Klinik Selcare untuk mendapatkan dos penggalak sama ada secara janji temu atau terus (walkin),” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Siti Mariah memaklumkan pihaknya sedang berbincang untuk membawa program dos penggalak ke inisiatif Iltizam Selangor Penyayang.

“Bagaimanapun, ia agak rumit kerana perlu banyak proses termasuk menguruskan tempahan pengambilan dos penggalak.

“Lebih baik datang ke Klinik Selcare dapatkan dos penggalak kerana lebih mudah dan dapat elak jangkitan Covid-19 bertambah teruk,” katanya.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat mendapatkan dos penggalak pertama dan kedua bagi perlindungan optimum daripada jangkitan Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berkenan merasmikan Hospital Tanjong Karang menyaran perkara itu susulan pergerakan aktiviti fizikal rakyat yang semakin meluas dalam fasa endemik.

Titah Baginda, kesihatan fizikal, mental dan kesejahteraan sosial adalah antara perkara yang terjejas akibat wabak bahaya ini.

“Beta suka menasihatkan rakyat agar jangan leka dalam menjaga aspek kesihatan fizikal diri sendiri, ahli keluarga, komuniti dan masyarakat sekeliling,” titah Baginda.


Pengarang :