OLEH AZIAN AZIZ
SELAYANG, 11 FEB: Lebih 3,000 penduduk memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan Parlimen Selayang di tapak pasar malam di sini, malam tadi.
Majlis diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ahli Parlimen Selayang William Leong dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Sany Hamzan.
Amirudin yang juga ADN Sungai Tua berkata rumah terbuka tersebut merupakan acara tahunan dan diadakan sekali dengan Parlimen Selayang kerana berkongsi kawasan hampir sama di Selayang Baru.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/02/1200_YS12-500x350.jpg)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/02/1200_YS11-500x331.jpg)
“Saya percaya suasana meriah seperti ini berlaku di mana-mana kawasan di Selangor.
“Untuk kekalkan suasana ini Pakatan Harapan telah sediakan suasana yang inklusif kepada semua masyarakat berbilang kaum,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan rumah terbuka tersebut.
Hadir sama isteri beliau Datin Seri Masdiana Muhamad.
Pelbagai acara diadakan termasuk persembahan tarian singa, tarian kipas, persembahan gendang, nyanyian dan cabutan bertuah.
Para penduduk juga dihidangkan pelbagai jenis makanan halal antaranya ayam golek, ayam goreng, buah-buahan, nasi goreng dan keropok lekor.
Ujar Amirudin acara seperti ini juga dapat mengekalkan tradisi hormat menghormati dalam kalangan rakyat.
“Dalam masa sama kita juga mengukuhkan kepercayaan antara satu sama lain,” tambahnya.