Litar Antarabangsa Sepang. Foto Facebook Sepang Circuit
AGENDASUKANKINI

Permukaan litar Sepang bakal diturap bermula Mac

SEPANG, 11 FEB: Permukaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal dinaik taraf bermula Mac ini bagi menjamin keselamatan pengguna terutama apabila penganjuran perlumbaan MotoGP di Grand Prix (GP) Malaysia diadakan November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata penurapan litar melibatkan hanya sepanjang satu km di selekoh 7, 8 dan 9 daripada keseluruhan litar sepanjang 5.54 km itu.

“Litar ini seperti stadium bola sepak di mana pada satu-satu masa perlukan penyelenggaraan. Kita lihat ada beberapa tempat yang perlu dinaik taraf.

“Jadi kita perlukan bantuan kerajaan untuk membantu kita memastikan litar ini dalam keadaan baik. Lagipun, untuk menurap litar bukan murah kerana untuk menurap sepanjang 5.54km memerlukan kira-kira RM20 juta,” katanya kepada pemberita di sesi Ujian Musim Sejuk 2023 MotoGP di sini hari ini.

Beliau berkata, kerja penambah baik litar berkenaan sepatutnya dilakukan pada 2021, namun pandemik Covid-19 mengakibatkan perancangan terbabit ditangguh.

Katanya Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) sebelum ini pernah menyuarakan pandangan mengenai perkara tersebut sebelum membuka tirai perlumbaan pada November ini.

“Jika mendapat kelulusan, kita rancang untuk tutup litar ini pada Mac nanti dan buka semula pada Mei untuk memastikan keadaan litar benar-benar bersedia untuk digunakan sepenuhnya,” katanya.

Kali terakhir SIC menaik taraf litar sepanjang 5.54 kilometer tersebut adalah pada tahun 2016 dan selepas itu tiada sebarang penurapan baharu dilakukan.

– BERNAMA


Pengarang :