Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze melakukan gimik penyerahan barangan sumbangan kasih kepada Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel di Subang Jaya pada 11 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

DUN Subang Jaya kumpul 20 tan barang keperluan, bantu mangsa gempa Turkiye

SUBANG JAYA, 11 FEB: Kira-kira 20 tan keperluan musim dingin dan beberapa barangan lain akan dihantar ke selatan Turkiye bagi membantu mangsa gempa bumi di wilayah itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata barangan berkenaan dikumpul di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menerusi insiatif ‘sumbangan kasih daripada Subang kepada Turkiye’.

“Antara barangan akan dihantar termasuk keperluan musim sejuk seperti baju sejuk, baju lengan panjang, makanan kering, selimut dan lampin pakai buang bayi.

“Jadi hari ini program penyerahan sumbangan barangan derma kepada Turkiye dan seterusnya kepada Syria,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan yang disampaikan kepada Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel di sini, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze ketika majlis serahan sumbangan kepada Kedutaan Turkiye di Subang Jaya pada 11 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata sumbangan berkenaan dijangka dihantar ke Turkiye pada minggu depan menerusi kargo syarikat penerbangan Turkish Airlines.

“Terima kasih kepada semua yang menyumbang. Walaupun program ini dibuka dalam masa seminggu namun kami buat keputusan tamatkan hari ini kerana sambutan terlalu baik dan sekarang kami perlukan sukarelawan untuk membantu buat pengasingan (barangan bersesuaian).

“Ada barangan mungkin tidak sesuai untuk disumbang turut diterima. Jadi bagi memastikan ia (barangan perlu) dapat disalurkan, kami bekerjasama dengan Red Red Shield Industries (RSI) untuk menguruskannya,” katanya.

Inisiatif sumbangan kasih daripada Subang kepada Turkiye dimulakan pada 9 Februari lalu bagi membantu mangsa gempa bumi di negara berkenaan.

Isnin lalu, gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras yang mengorbankan ribuan nyawa setakat ini.

Malaysia turut menghantar 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat khas Malaysia (SMART) bersama peralatan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di wilayah itu.


Pengarang :