Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas majlis perasmian Dewan MPAJ Perwira Jaya di Kampung Perwira Jaya, Ampang Jaya pada 11 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Manfaat peruntukan RM500,000, bina dewan konsep terbuka di Kampung Pandan

AMPANG, 11 FEB: Sebuah dewan berkonsepkan terbuka akan dibina di Kampung Pandan pada Mac depan menggunakan peruntukan RM500,000 Projek Selangor Penyayang, kata wakil rakyat Pandan Indah.

Ir Izham Hashim berkata dewan baharu itu akan menggantikan Dewan Ahmad Jantan di kampung itu kerana tidak dapat digunakan berikutan strukturnya bengkok dan tidak selamat kepada masyarakat.

“Keseluruhan, kita ada enam dewan konsep terbuka termasuk yang baharu di Perwira Jaya dan bakal tambah satu lagi di Kampung Pandan yang ditukar namanya nanti.

“Tapak asal juga sebuah dewan tetapi kita akan roboh dan bina semula untuk jadikan ia secara terbuka. Dewan dibina secepat mungkin dan jangka prosesnya bermula Mac selepas selesai dokumentasi,” katanya.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata demikian selepas merasmikan Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Perwira Jaya di sini, hari ini.

Menerusi Belanjawan 2023 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sejumlah RM28 juta diperuntuk di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :