Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat persiapan barangan jualan sempena Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Pelabuhan Klang di Pulau Indah pada 12 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII
AGENDANASIONAL

Jualan murah negeri terus dapat sambutan, ayam terjual 200 ekor tempoh 40 minit

KLANG, 13 FEB: Enam barangan keperluan harian yang dijual di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Pengurus Audit Dalam Integriti dan Pengurusan Risiko Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Faradina Hairudin berkata jualan setiap barangan lebih seimbang berbanding sebelum ini ayam dan telur jadi rebutan pembeli.

Pengurus Audir Dalam Integriti dan Pengurusan Risiko PKPS Faradina Hairudin. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII

“Kebiasaannya ayam dan telur antara keperluan yang menjadi tumpuan penduduk, namun hari ini daging pejal segar, minyak masak, beras dan ikan turut laris.

“Namun, ayam masih menjadi barangan keperluan harian yang cepat habis. Hari ini lebih 200 ekor terjual dalam tempoh 40 minit,” katanya pada program jualan murah peringkat DUN Pelabuhan Klang di Lebuh Samudera 1, Laguna Park, Pulau Indah di sini, hari ini.

Terdahulu, wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri memaklumkan hampir 7,000 penduduk menerima manfaat menerusi program tersebut sejak Oktober tahun lalu.

Program jualan murah kendalian PKPS diteruskan bermula 15 Januari lalu dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.

Inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Minyak masak antara barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Pelabuhan Klang di Pulau Indah pada 12 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII

Pengarang :