Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad menggaul ‘yee sang’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Gombak dan DUN Hulu Kelang di tapak bazar Ramadan Taman Melawati, Ampang Jaya pada 12 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB meriahkan sambutan Tahun Baharu Cina, gembira lihat toleransi antara kaum

AMPANG, 13 FEB: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hadir memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di tapak bazar Ramadan Teman Melawati di sini, malam tadi.

Kehadiran Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad disambut lebih 400 tetamu pelbagai bangsa dan peringkat umur.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Amirudin turut menyempurnakan tradisi menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik penganjuran majlis selain mengagihkan angpau kepada tetamu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan angpau kepada tetamu sempena sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Gombak dan DUN Hulu Kelang di tapak bazar Ramadan Taman Melawati, Ampang Jaya pada 12 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ketika berucap beliau meluahkan rasa bangga dengan kehadiran pelbagai bangsa dan agama sepanjang penganjuran rumah terbuka Tahun Baharu Cina tahun ini.

“Minggu ini sahaja ada tiga sambutan. Di Selayang, petang tadi di Gombak Setia dan malam ini (Hulu Kelang). Walaupun perayaan sudah hampir sebulan, namun kita masih meraikannya.

“Nak bina bangsa, kita kena faham dan hayati semangat hormat-menghormati, toleransi. Negara tak boleh dibangunkan dengan ketakutan, kemarahan tetapi dengan fakta, data, ilmu supaya hubungan terbentuk,” katanya.

Selain jamuan makan malam, pertunjukan tarian singa, persembahan nyanyian serta acara cabutan bertuah turut dilangsungkan sepanjang program.

Orang ramai hadir sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Gombak dan DUN Hulu Kelang di tapak bazar Ramadan Taman Melawati, Ampang Jaya pada 12 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :